MAKNA DALAMAN
1.
Konsep Keindahan dari
aspek Makna Dalaman
Konsep keindahan amat
sinonim dengan karya klasik kerana merupakan antara unsur terpenting bagi
menarik hati pembaca untuk menelaah karya yang dihasilkan. Antara keindahan
yang digarap oleh pengarang klasik ke dalam karya adalah keindahan dalaman.
Keindahan dalaman merujuk kepada faedah atau manfaat yang ditampilkan oleh
seseorang tokoh pengarang dalam karyanya. Dalam tradisi Melayu, ‘faedah’
dipandang sebagai makna didaktik, pengajaran daripada ciptaan yang bersifat
keagamaan atau sekular (V.I Braginsky, 1994: 47).
Sejajar
dengan penafsiran terhadap definisi keindahan, karya klasik atau karya agung
pula merupakan karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran,
pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama
sesuatu bangsa. Bagi aspek karya klasik melayu pula adalah karya yang ditulis
atau diungkapkan atau dilisankan( pepatah, pantun, lipur lara dan laian-lain)
dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan
Dunia Melayu ini, sama ada orang Semenanjung tanah melayu, atau orang Melayu
brunei, atau orang aceh, orang bugis, orang minangkabau dan lain-lain yang
menghasilkan karya itu.
2.
Makna Dalaman Karya Melayu Klasik:
Disini dapat dijelaskan bahawa Makna
dalaman bermaksud makna yang disampaikan secara tersirat . Aspek ini merangkumi
pelbagai cabang kerana bergantung kepada tujuan seseorang pengarang itu
memancarkan ideanya dalam sesuatu karya klasik tersebut. Makna ini boleh
meliputi aspek pemikiran pengarang, nilai yang dibawa oleh pengarang, serta
cerminan kepada pegangan hidup dalam sesuatu masyarakat yang dipaparkan.
3.
Pemikiran Pengarang
Pemikiran pengarang merupakan penampilan
makna dalaman dalam sesuatu karya klasik juga dapat dilihat daripada
sikap pengarang yang menampilkan pengembaraan watak yang baik dan
mengandungi unsur-unsur pengajaran yang tinggi dalam sesebuah karya klasik.
Fungsi cerita-cerita tersebut pula bukanlah pula sekadar menggambarkan
selok-belok nasib wataknya, tetapi menampilkan atau mewujudkan idea melalui
imej-imej plastis, memenuhi segenap ‘ruang fikiran’ dengan idea tersebut yang
disampaikan melalui imej. Dengan hal itu pula, idea sedemikian membentuk dan mendidik akal pembaca dan pendengar (V. I.
Brinsky, 1994: 59)
Misalnya dalam
Hikayat Hang Tuah yang mengangkat tokoh pahlawan Melayu yang unggul, iaitu Hang
Tuah sebagai watak utama. Menurut pengarang Hikayat Hang Tuah, perpaduan antara
raja dan hamba-hamba setianya yang tidak berpecah-pecah menjamin kejayaan
Melaka dalam bidang politik dan mendatangkan kemakmuran kepadanya (V. I.
Brinsky, 1994: 59). Dalam aspek ini, pengarang ingin menegaskan kepada pembaca
dasar kepada kestabilan politik sesebuah kerajaan tidak hanya terletak kepada
kebijaksanaan seseorang pemerintah itu memerintah tetapi juga membabitkan
kesediaan rakyat untuk bersama-sama dengan golongan pemerintah untuk
mengekalkan kestabilan tersebut. Oleh hal yang demikian, pembaca haruslah
mengambil teladan daripada kisah yang dicerna oleh pengarang untuk panduan pada
masa yang akan datang.
4.
Nilai
Jika dikaji dengan lebih mendalam
lagi, karya agung yang dikaji mempunyai nilai yang tinggi untuk dijadikan
pegangan oleh pembaca. Unsur nilai ini dapat diperhatikan dalam setiap karya
yang dihasilkan oleh pengkarya pada waktu itu. Menurut kenyataan Nik Hassan
Basri nik ab. Kadir (2007), nilai ialah segala perbuatan, perlakuan atau
tindakan yang bermutu, berdarjat, bertaraf atau elok yang harus dijadikan
contoh dan teladan. Nilai yang dipaparkan dalam karya klasik adalah makna
dalaman yang ingin ditampilkan oleh pengarang.
Terdapat nilai
yang tidak lupa untuk dipaparkan oleh tokoh pengarang adalah nilai budaya
Melayu. Seperti sedia maklum, Melayu dan budaya adalah dua entiti yang
digabungkan menjadi satu. Menjadi sebati dan terus meresap ke dalam nurani
masyarakatnya. Nilai-nilai budaya tidak sekadar memaparkan peristiwa sebagai
bahan sejarah, soal masyarakat dan kemanusiaan tetapi juga nilai budaya yang
dapat menyingkap perihal batin, mata hati, budi dan akal (Siti Zainon Ismail,
1996: 225). Oleh yang demikian, pengarang mengambil nilai ini untuk
diterjemahkan dalam karya mereka.
5.
Spiritual
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat,
spiritual bermaksud hal yang berkaitan dengan atau bersifat rohani atau jiwa
(bukan sifat fizikal), rohaniah. Rohani adalah jiwa manusia yang tersirat dan
sukar untuk ditafsirkan dengan mata kasar. Spiritual manusia berpusat pada
kalbu, dan di dalam kalbu manusia sudah ada potensi-potensi spiritual yang
merupakan format dasar kemanusiaan. Hakikat diri manusia adalah diri yang
rohaniah/ spiritual yang telah tercipta sebelum adanya tubuh biologis (basyar)
( Ibrahim Abdullah,http://mukmin.com.my/baca.php?kategori=10&id=1747). Berdasarkan maksud yang dinyatakan spiritual lebih kepada
lahiriah manusia yang sepatutnya didominasikan oleh akal dan iman.
Dalam karya
agung Melayu, elemen spiritual jelas dari aspek kehancuran nilai
persahabatan yang dipancarkan dalam Hikayat Hang Tuah melalui watak
Hang Jebat. Seperti yang sedia maklum Hang Tuah mempunyai empat lagi saudara,
iaitu Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu. Dalam fenomena yang
ingin diperjelaskan adalah konflik yang dipancarkan oleh pengarang dalam watak
Hang Jebat dan Hang Tuah. Hang Jebat dikatakan telah menderhaka kepada raja dan
beliau dikatakan ingin menuntut bela di atas kematian sahabatnya Hang Tuah.
Namun demikian, Hang Tuah yang dikatakan telah menemui ajal dalam hukuman yang
telah dijatuhkan oleh raja ke atasnya, sebenarnya telah disorokkan oleh
bendahara Melaka demi keselamatan Kesultanan Melaka telah datang ke istana di
saat Hang Jebat mengamuk di istana. Hal dapat dijelaskan dalam petikan di
bawah:
Maka Laksamana pun berseru pula, katanya, ‘ Hai Si Jebat
derhaka! Sungguh kau berani tidak melawan! Marilah engkau turun dari istana ini
bertikam sama seorang. Maka suara itu pun terdengar kepada Hang Jebat,
dikenalnya suara Laksamana, maka dibuaknya peranginan itu, maka dilihatnya
Laksamana terdiri di tengah halaman itu. Maka Hang Tuah pun berdebar-debar
hatinya.
(Sumber: Hikayat Hang Tuah,
338)
Dalam petikan
di atas, pengkaji telah mendapati Hang Tuah telah datang ke istana untuk beradu
kekuatan dengan Hang Jebat yang sebenarnya menuntut bela di atas kematiannya.
Hang tuah sanggup mengenepikan rasa kemanusiaan yang erat, iaitu persahabatan
hanya kerana ketaatan kepada pemerintah. Walaupun Hang Jebat merupakan
sahabatnya semenjak kecil namun Hang Tuah begitu tega melupakannya untuk
kedaulatan negeri. Hal ini menunjukkan sikap kesetiaan Hang Tuah kepada sultan
pada ketika itu walaupun memerlukan beliau untu membunuh saudaranya sendiri
sejak kecil iaitu Hang Jebat.
MAKNA LUARAN
Makna luar
merupakan makna selapis yang dapat dilihat pada permukaan teks. Melalui makna
luaran, pembaca dapat memahami dengan jelas tentang perkara yang ingin
disampaikan oleh pengarang. Terdapat beberapa aspek yang dapat tergolong dalam
makna luaran seperti gaya bahasa, penggunaan pelbagai bahasa dalam sesebuah
karya, pantun dan sebagainya. Aspek-aspek ini memberikan nilai keindahan dalam
sesebuah karya sastera seperti Hikayat Hang Tuah.
1.
GAYA BAHASA
Gaya bahasa
terdiri daripada dua perkataan iaitu perkataan ‘gaya’ dan
‘bahasa’. Secara umumnya, gaya boleh didefinisikan sebagai cara dan
ragam. Sebagai contoh, jika dilihat pada manusia, gaya yang
dimaksudkan ialah cara berpakaian, tingkah laku, cara berinteraksi dan pelbagai
lagi. Bahasa pula merupakan satu sistem yang mewakili benda,
tindakan, idea dan perasaan. Gaya bahasa pula membawa maksud cara
atau ragam sesuatu bahasa itu diguna pakai terutamanya dalam penulisan
karangan. Hal ini demikian kerana, melalui penulisan, pembaca tidak
boleh mengetahui cara atau tindakan penulis ketika menulis sesuatu perkara.
Penggunaan
bahasa terlalu luas terutamanya dalam bidang komunikasi. Komunikasi boleh
berlaku dalam dua keadaan iaitu komunikasi lisan dan komunikasi bukan
lisan. Komunikasi lisan merupakan komunikasi yang berlaku secara
terus dan disampaikan melalui perbualan, manakala komunikasi bukan lisan boleh
berlaku dalam penulisan. Gaya dalam komunikasi bukan lisan ialah
gaya penulisan yang digunakan oleh seseorang penulis. Setiap penulis
memiliki gaya penulisan yang berbeza walaupun perkara atau topik perbincangan
yang ditulis adalah sama.
Gaya
bahasa dalam kesusasteraan pula merupakan gaya bahasa yang memiliki kesenian
dan mengandungi nilai estetik yang merupakan nilai yang mampu membangkitkan
perasaan serta mengharukan pembaca sesebuah karya sastera. Selain
itu, gaya bahasa sastera ini juga berperanan untuk menyampaikan maklumat serta
merangsang daya pemikiran pembaca. Penggunaan nilai estetika dalam
penulisan ini menjadikan penulisan tersebut memiliki gaya yang
tersendiri. Sebenarnya, dalam kesusasteraan terdapat banyak jenis
gaya bahasa. Antaranya ialah gaya bahasa kiasan, sindiran, hiperbola
dan peribahasa. Melalui karya agung Hikayat Hang Tuah, didapati
bahawa terdapat penggunaan keempat-empat gaya bahasa ini.
a. Kiasan
Peribahasa,
perumpamaan, bidalan dan ungkapan merupakan cabang kepada bahasa
kiasan. Bahasa kiasan ini berfungsi menyindir seseorang secara halus
dan bersopan. Bahasa ini juga terbentuk daripada analogi dan
perbandingan yang berlaku antara satu perkara dengan perkara yang
lain. Bahasa kiasan ini sebenarnya telah wujud sejak zaman dahulu
lagi. Buktinya, nenek moyang kita telah mula menggunakan peribahasa,
perumpamaan, pepatah malah pantun untuk menyindir terutamanya untuk menyindir
golongan pemerintah sekiranya terdapat perkara yang tidak kena dengan
pemerintahan tersebut. Penggunaan kiasan ini menunjukkan adanya rasa
hormat dalam kalangan masyarakat terutamanya perasaan hormat golongan rakyat
jelata terhadap golongan pemerintah.
Dalam Hikayat Hang Tuah juga terdapat penggunaan unsur gaya bahasa
berbentuk kiasan ini. Antara bahasa sindiran yang
digunakan oleh penulis dalam hikayat adalah seperti di bawah, iaitu:
Ular cintamani yang ditangkap oleh Hang Tuah di Pulau
Biram Dewa telah digambarkan sebagai :
……..rupanya dan besarnya seperti pisang emas dan warnanya
seperti emas sepuluh mutu.
(Dipetik
daripada Hikayat Hang Tuah: 43)
Berdasarkan petikan daripada hikayat di atas, didapati bahawa penulis telah
menggunakan bahasa kiasan dengan membandingkan saiz pisang emas dan warna emas
untuk menerangkan saiz serta warna ular cintamani yang telah ditangkap oleh
Hang Tuah di Pulau Biram Dewa. Seperti yang kita sedia tahu, pisang
emas bersaiz dan berdiameter besar, manakala emas sepuluh mutu merupakan emas
yang diterangkan sebagai emas yang sangat bermutu tinggi. Oleh hal yang
demikian, didapati bahawa penulis ingin menerangkan warna ular cintamani
tersebut sangat bersinar seperti emas yang bermutu tinggi.
Selain ayat di atas, dapat dikenal pasti bahawa penulis telah menggunakan
bahasa kiasan ini pada halaman yang lain. Selain daripada
menggunakan bahasa kiasan untuk menyindir, bahasa kiasan ini juga boleh
digunakan untuk menggambarkan sesuatu keadaan, benda, perkara atau
seseorang. Berdasarkan ayat di bawa, didapati bahawa penulis
berupaya menggunakan bahasa kiasan untuk menggambarkan kecantikan fizikal seseorang
wanita. Ayat yang dimaksudkan adalah seperti di bawah, iaitu:
Kecantikan dan kejelitaan Tun Teja di bandingkan dengan,
……. bulan purnama empat belas haribulan, gilang gemilang,
berkilau-kilauan.
(Dipetik
daripada Hikayat Hang Tuah: 111)
Berdasarkan petikan di atas, didapati bahawa penulis menggunakan bahasa
kiasan untuk menggambarkan kecantikan Tun Teja. Bahasa kiasan yang
digunakan dalam petikan di atas adalah untuk menunjukkan perbandingan unsur
alam sekitar dengan rupa paras seseorang. Didapati bahawa penulis
menerangkan kecantikan dan kejelitaan Tun Teja adalah seperti bulan purnama
empat belas hari bulan. Bulan purnama empat belas hari bulan ialah
bulan mengambang yang terang dan kelihatan sangat cantik. Selain
itu, penulis juga menyatakan bahawa kecantikan Tun Teja juga seperti bulan yang
gilang gemilang dan berkilau-kilauan. Perkataan gilang gemilang dan
berkilau-kilauan memang menggambarkan bahawa rupa paras yang sangat cantik dan
berseri-seri.
b. Sindiran
Sindiran
merupakan salah satu bentuk bahasa yang termasuk dalam bahasa
kiasan. Bahasa sindiran terdiri daripada tiga jenis iaitu sindiran
halus, sindiran tajam dan sindiran kasar. Bahasa sindiran ini merupakan bahasa
yang digunakan adalah bertentangan maksudnya dengan perkara yang diujarkan.
Selain disebut sebagai sindiran halus, bahasa ini juga dinamakan sebagai ironi
dan bukan digunakan untuk mengguris hati, memalukan orang lain, tetapi juga
bukan bertujuan untuk tidak mengguris atau memalukan pihak lain.
Dalam karya agung Hikayat Hang Tuah, penulis banyak menggunakan bahasa
sindiran untuk menyindir pihak yang tidak jujur serta pihak yang mendatangkan
masalah dalam sesuatu perkara. Penggunaan bahasa sindiran dalam Hikayat Hang
Tauh dapat dilihat melalui petikan di bawah, iaitu:
Maka sahut Tun
Tuah, “Pada bicara manira, janganlah seperti pelenter itu tiadakan manira
tikam, jikalau penggawa Majapahit itu sekalipun manira tikam juga.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 153)
Berdasarkan petikan dalam Hikayat Hang Tuah di atas, didapati bahawa Hang
Tuah menunjukkan keberanian beliau terhadap Patih Gajah Mada. Beliau
menyatakan bahawa beliau bukan sahaja boleh membunuh pencuri, malah beliau
mampu membunuh penghulu bernama Majapahit.
c. Peribahasa
Peribahasa
merupakan salah satu jenis percakapan yang mengandungi kepandaian akal fikiran
yang telah disusun serta indah dan sedap didengar. Sebenarnya, peribahasa
ini telah wujud sejak zaman nenek moyang kita lagi. Mereka mencipta
peribahasa berdasarkan kepada keadaan sekeliling dan pemerhatian mereka
terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Peribahasa ini
juga sebenarnya merupakan salah satu bentuk bahasa kiasan yang digunakan dalam
kehidupan bermasyarakat. Peribahasa ini mengandungi makna tersirat atau lebih
dikenali sebagai makna dua lapis iaitu perkara yang diujarkan adalah tidak sama
dengan maksud yang ingin disampaikan.
Dalam karya Hikayat Hang Tuah, penulis turut menggunakan
peribahasa yang jarang digunakan mahu pun didengar oleh masyarakat masa
ini. Peribahasa yang digunakan adalah seperti di bawah, iaitu:
Maka sahut
Jebat, “Inilah pekerjaan yang sempurna. Sepala-pala jahat jangan
kepalang, seperti pantun Melayu: ‘Rosak bawang ditimpa jambaknya,.”
Maka Laksamana berkata pula, “Hai Si Jebat, segeralah bukakan aku pintu ini.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 356)
Berdasarkan petikan di atas, didapati bahawa penulis menggunakan peribahasa
‘sepala-pala jahat jangan kepalang’ iaitu perkataan yang
digelapkan. Peribahasa ini telah jarang didengar masa
ini. Maksud peribahasa yang digunakan di atas ialah jika sudah
terlanjur melakukan kejahatan, jangan berhenti separuh jalan. Perkara ini
membawa maksud Jebat telah menuduh Laksamana Hang Tuah melakukan kejahatan dan
menyatakan bahawa kejahatan yang dilakukan itu hendaklah diteruskan sehingga
akhirnya. Jelas dilihat peribahasa yang digunakan di atas bertujuan
untuk menyindir sikap Laksamana tersebut.
2. STRUKTUR AYAT
Karya agung
merupakan karya klasik yang telah wujud sejak dahulu lagi. Oleh hal
yang demikian, penuls banyak menggunakan format penulisan
klasik. Terdapat pelbagai format penulisan karya
klasik. Antaranya ialah penggunaan ayat songsang dan penggunaan ayat
yang panjang dan berulang-ulang.
a. Ayat songsang
Susunan ayat
biasa ialah didahului dengan subjek dan seterusnya predikat, tetapi, penulisan
ayat songsang ialah predikat didahulukan dan diikuti oleh
subjek. Dalam karya klasik sememangnya mengandungi banyak penggunaan
ayat songsang. Pengaruh bahasa Arab yang terdapat dalam bahasa Melayu klasik
yang menyebabkan hal ini berlaku. Dalam karya agung Hikayat Hang
Tuah juga ada menggunakan ayat songsang dan dapat dikenalpasti:
Hatta, berapa
lamanya belayar itu, maka nakhoda itu pun hampirlah akan sampai ke Palembang.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 13)
Setelah sudah
bermuat maka nakhoda itu pun turunlah ke perahunya lalu belayar menuju
Palembang.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 13)
Berdasarkan petikan pertama, didapati bahawa subjek bagi ayat tersebut
ialah ‘nakhoda itu’, manakala predikat bagi ayat tersebut ialah ‘pun hampirlah
akan sampai ke Palembang’ dan ‘ Hatta, berapa lamanya belayar
itu’. Oleh hal yang demikian, ayat tersebut sepatutnya ditulis
‘Nakhoda itu pun hampirlah akan sampai ke Palembang setelah berapa lamanya
belayar’. Merujuk kepada ayat kedua pula, subjeknya ialah ‘nakhoda
itu’ dan predikat bagi ayat tersebut ialah ‘pun turunlah ke perahunya lalu
belayar menuju Palembang’ dan ‘Setelah sudah bermuat maka’. Oleh hal
yang demikian, ayat yang sepatutnya mengikut rumus subjek + predikat ialah
‘Nakhoda itu pun turunlah ke perahunya lalu belayar menuju Palembang setelah
sudah bermuat’.
b. Ayat panjang, berulang-ulang dan berbelit-belit
Ayat panjang,
berulang-ulang dan berbelit-belit merupakan salah satu ciri bahasa Melayu
klasik. Penggunaan ayat yang meleret-leret juga dapat dilihat dalam
karya klasik. Penggunaan ayat yang panjang dalam Hikayat Hang Tuah
dapat dilihat melalui petikan di bawah, iaitu:
Apabila tuan
puteri dan segala isi istana itu mendengar bunyi-bunyian dan melihat segala
perintah dewa-dewa turun terlalu banyak datang dengan pakaiannya terlalu
indah-indah - rata terbang itu pun dengan perhiasan keemasan – datang
mendapatkan Sang Perta Dewa itu bertatahkan ratna mutu manikam, maka Tuan
Puteri Pelinggam pun tahulah akan Sang Perta Dewa itu anak raja besar turun
dari keinderaan.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 6)
Berdasarkan pernyataan di atas, didapati bahawa penulis menggunakan ayat
yang terlalu panjang untuk menerangkan sesuatu perkara. Petikan di
atas menggunakan 58 perkataan hanya dalam satu ayat. Bilangan
perkataan yang terlalu maksimum dalam satu ayat dapat membuktikan bahawa ayat
tersebut ditulis dengan panjang. Penggunaan ayat yang berulang-ulang
dalam karya klasik juga dapat dilihat melalui Hikayat Hang Tuah pada halaman
sebelas dan petikan tersebut adalah seperti di bawah, iaitu:
Hatta, berapa
lamanya, tuan puteri pun hamillah. Maka Sang Sapurba
terlalu sukacita melihat isterinya hamil itu. Setelah genaplah bulannya,
maka tuan puteri pun berputerakanlah seorang lelaki; terlalu elok rupa dan
sikapnya. Maka Sang Sapurba pun terlalu sukacita hatinya kerana melihat
anakanda baginda itu. Maka dinamai baginda Sang Manika. Maka
dipeliharakan dengan sepertinya. Syahadan maka baginda pun mengias
akan anakandanya dengan inang pengasuh dan pupuk rabun sekalian akan Sang
Manika. Hatta, beberapa lama antaranya, maka tuan
puteri pun hamillah. Setelah genap bulannya, maka tuan puteri
berputera pula seorang laki-laki elok rupanya. Maka dinamai oleh
baginda, Sang Jaya Nantaka. Maka dipeliharakan ayahanda baginda
dengan inang pengasuhnya, ditahunya akan anakanda baginda itu jadi raja besar
tetapi merasai hal dahulu, makan pagi dan petang pun tiada
diperoleh. Hatta, berapa lamanya, maka tuan puteri pun
hamillah pula. Setelah genap bulannya, maka tuan puteri pun
berputeralah seorang laki-laki terlalu elok rupanya. Maka dipeliharanya akan
baginda seperti anak yang dahulu itu. Maka dinamai oleh baginda, Sang
Saniaka. Hatta beberapa bulan lamanya, maka tuan puteri pun
hamillah pula. Setelah genap bulannya, maka tuan puteri pun
berputeralah seorang laki-laki terlalu elok rupanya dan
parasnya. Maka baginda pun terlalu kasihnya akan anakanda baginda
itu, dipeliharakan dengan sepertinya. Maka dinamai oleh baginda,
Sang Satiaka.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah:11)
Penggunaan frasa yang sama iaitu sebanyak empat kali dalam satu perenggan
membuktikan bahawa karya klasik sememangnya banyak menggunakan pengulangan
ayat. Contohnya,
penulis banyak menggunakan frasa ‘maka tuan puteri pun hamillah’ dalam satu
perenggan yang sama.
3.
BAHASA
Penggunaan
bahasa yang pelbagai sangat berleluasa dalam bidang penulisan terutamanya
penulisan karya klasik. Pada zaman dahulu, masyarakat mempelajari pelbagai
bidang bahasa dan kemahiran tersebut diaplikasikan dalam penulisan dan Penggunaan
bahasa yang pelbagai ini adalah pengaruh daripada masyarakat Arab, Jawa dan
Parsi yang datang ke alam Melayu dengan tujuan perdagangan dan menuntut
ilmu. Selain daripada itu, terdapat juga penggunaan bahasa istana
terutamanya dalam aspek gelaran.
a. Bahasa Sanskrit
Bahasa Sanskrit
merupakan bahasa yang digunakan oleh golongan kasta tinggi dalam kalangan
masyarakat beragama Hindu. Oleh hal yang demikian, masyarakat
berkasta rendah tidak dibenarkan sama sekali untuk menggunakan bahasa
ini. Pada masa ini, bahasa Sanskrit tidak lagi digunakan dan banyak
perkataan daripada bahasa Sanskrit ini telah diserap ke dalam bahasa
moden. Dalam Hikayat Hang Tuah juga ada menggunakan perkataan Sanskrit. Buktinya
dapat dilihat melalui petikan di bawah, iaitu:
… maka baginda
pun memandang kepada Laksamana seraya bertitah, “Hai Laksamana, apa
bicara Laksamana kita hendak suruh ke Benua Rom itu?”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 491)
Berdasarkan petikan di atas, didapati penulis menggunakan perkataan
Sanskrit iaitu perkataan ‘Laksamana’ yang mana perkataannya digelapkan dalam
petikan di atas. Dalam bahasa Melayu, perkataan ‘Laksamana’ membawa
maksud tanda atau markah utama. Berdasarkan hikayat ini, penulis
ingin menegaskan bahawa Hang Tuah yang digelar Laksamana Hang Tuah kerana sifat
kepewiraan dan keberanian beliau. Selain itu, terdapat beberapa lagi
petikan yang mana menunjukkan wujudnya penggunaan perkataan Sanskrit dalam
Hikayat Hang Tuah. Petikan di bawah menunjukkan wujudnya penggunaan
perkataan Sanskrit, iaitu:
Maka kata
syahbandar, “Apatah salahnya yang anakku mengakukan hamba bapa? Adapun yang
anakku ini anaklah kepadaku.” Maka kata syahbandar, “Apa nama rajadutanya
dan upadutanya?”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 507)
Tatkala ini
Kisna Rayan pun sudah keluar diadap oleh segala raja-raja dan ceteria dan
perdana menteri, sida-sida, bentara dan hulubalang sekalian.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 392)
Adapun bicara
manira, mana segala penggawa dan penjurit yang bercakap hendak
menikam Ratu Melaka itu, pada ketika inilah baik dititahkan pergi ke Tuban
juga; masakan ia sampai ke Majapahit ini.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 299)
Berdasarkan ketiga-tiga petikan di atas, penulis menggunakan perkataan
Sanskrit. Dalam petikan pertama, didapati bahawa penulis menggunakan
perkataan rajaduta dan upaduta. Perkataan rajaduta tersebut membawa
maksud ketua dalam sesebuah perwakilan atau lebih dikenali sebagai duta besar,
manakala upaduta membawa maksud penolong kepada rajaduta atau duta besar
tersebut. Petikan kedua pula memperlihatkan penulis menggunakan
perkataan Sanskrit ceteria yang membawa maksud kesatriaan atau
hulubalang. Hulubalang ini merupakan salah satu jawatan dalam
sesbuah kerajaan lama. Seterusnya, penulis turut menggunakan
perkataan Sanskrit penggawa dalam petikan ketiga di atas yang membawa maksud
ketua atau penghulu kampung.
b. Bahasa Arab
Pengaruh bahasa
Arab ini berleluasa di alam Melayu akibat daripada masyarakat Arab yang
berhijrah serta menuntut ilmu di alam Melayu sehinggakan bahasanya boleh
mempengaruhi penulisan karya-karya Melayu lantas menjadi salah satu ciri dalam
penulisan hikayat Hang Tuah. Hikayat Hang Tuah yang merupakan salah
satu karya Melayu tidak terlepas daripada mendapat pengaruh daripada bahasa
Arab. Terdapat pelbagai perkataan Arab yang digunakan dalam karya
tersebut. Contoh perkataan Arab yang digunakan adalah seperti dalam
petikan di bawah, iaitu:
Bismi'llahi'rrahmani'rrahim;
wabihi nasta'inu bi'llahi'l-a'la. Ini hikayat Hang Tuah yang amat setiawan pada tuannya
dan terlalu sangat berbuat kebaktian kepada tuannya.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 3)
Setelah baginda
menengar Tun Tuah demikian itu maka baginda dengan sepah. Maka
disambut oleh Tun Tuah sepah raja itu lalu dijunjungnya serta dimakannya seraya
berkata, “Daulat tuanku, insya-Allah Taala, disampaikan Allah Taala
juga tuanku ke Majapahit itu dan selamat kembali juga ke Melaka.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 132)
Maka dalam hati
Tun Tuah. “Ya rabbi, ya saiyidi, ya maulana, ya Tuhanku, Engkau
juga yang terlebih tahu dan amat berkuasa dan Engkau juga yang mengetahui dalam
hati hambamu bahawa perempuan ini ibuku…
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah:221)
“Sesungguhnya
tuan anak kepadaku. Bermula pisau itu sebuah negeri dengan isinya
tiada kutukarkan. Adapun yang kasih anakku itu Allah Taala juga membalas dia,
tetapi insya-Allah Taala, barang di mana tempat anakku itu dipeliharakan Allah
Subhanahu wa Taala juga; bala dijauhkan Allah Taala pada kadam.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 347)
Berdasarkan keempat-empat petikan di atas, didapati bahawa terdapat
penggunaan kata atau frasa Arab iaitu kata atau frasa yang
digelapkan. Dalam petikan pertama, penulis menggunakan frasa Arab
iaitu Bismi'llahi'rrahmani'rrahim; wabihi nasta'inu bi'llahi'l-a'la, manakala
dalam petikan kedua, penulis menggunakan perkataan Arab insya-Allah
Taala. Dalam petikan ketiga, penulis menggunakan perkataan Arab Ya
rabbi, ya saiyidi, ya maulana dan dalam petikan terakhir, penulis telah
menggunakan frasa Arab Allah Subhanahu wa Taala.
c. Bahasa Jawa
Dalam penulisan
Hikayat Hang Tuah turut memuatkan perkataan Jawa yang mana Bahasa Jawa
merupakan salah satu bahasa yang mempengaruhi penulisan karya
klasik. Ianya dapat dilihat terutamanya dalam kisah Hang Tuah ke
Jawa. Penggunaan perkataan Jawa dalam Hikayat Hang Tuah dapat
dilihat melalui petikan di bawah, iaitu:
Maka kata Barit
Ketika, “Nyaris manira mati bersembunyi di bawah kedai.” Maka
Petala Bumi pun berkata, seraya tertawa, “Masakan engkau seorang merasai? Aku
pun nyarisnya mati; baik sempat aku menjadikan diriku tunggul.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 310)
Maka Patih
Gajah Mada pun mengarang surat dan bingkis dan segala permainan dua belas ragamnya
akan permainan cucunda itu dan perempuan yang baik-baik rupanya yang tahu
memalu bunyi-bunyian empat puluh dan anak priyai empat puluh
dan keris berulu emas bersarungkan permata empat puluh bilah dan budak-budak
yang bongkok empat puluh dan tombak pengawitan yang bertatahkan ratna murni
manikam dan bersampak emas empat puluh bilah.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 266)
Maka Laksamana
pun rebah tidur. Maka setelah dilihat oleh Laksamana penjurit itu
tidur terlalu nyedarnya, maka Laksamana pun bangun lalu dihunusnya penduanya
itu lalu ditendasnya kepala Sang Marga Paksi itu ketujuhnya
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 320)
Maka Rangga pun
segera mengunus kerisnya, seraya berkata, “Hai Laksamana, den eling,
pakanira, kerana orang mengamuk itu banyak.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 271)
Penggunaan bahasa jawa, berdasarkan petikan yang pertama di atas, didapati
bahawa penulis telah menggunakan perkataan Jawa iaitu ‘manira’ yang membawa
maksud saya. Dalam petikan yang kedua di atas pula, penulis menggunakan
perkataan ‘priyai’ iaitu perkataan Jawa yang merupakan gelaran bagi golongan
yang berpangkat tinggi. Petikan ketiga pula memperlihatkan
penggunaan perkataan Jawa ‘penjurit’ yang membawa maksud pejuang atau askar
upahan serta dalam petikan keempat pula penulis menggunakan perkataan ‘den
eling’ yang bermaksud supaya ingat atau beringat.
d. Bahasa Parsi
Dalam Hikayat
Hang Tuah turut melibatkan penggunaan bahasa Parsi. Penggunaan perkataan
dalam bahasa Parsi ini dapat dilihat melalui petikan di bawah, iaitu:
Setelah sudah
diajarnya, Laksamana pun menuangkan arak lalu diberikannya pada Marga Paksi
itu. Adapun arak itu dibihaus. Maka kata Marga Paksi, “Arak ini
kalau-kalau engkau bubuh racun, minumlah engkau dahulu kulihat.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 320)
Berdasarkan petikan di atas, didapati terdapatnya perkataan ‘dibihaus’
iaitu perkataan Parsi yang membawa maksud dibius.
BIBLIOGRAFI.
Abdul Wahab Ali (2002). Kritikan
Estetik Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2005).
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Keris Mas (1988). Perbincangan Gaya
Bahasa sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Mana Sikana (2004). Sastera Melayu
Klasik: Warisan Keemasan. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.
Rahman Shaari (1993). Memahami gaya
bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
terima kasih atas maklumannya..baru saya paham bagaimana karya agung dapat dikaji dari sudut yang baharu
ReplyDeletesama-sama , semoga ilmu ini bermanfaat
ReplyDelete