Social Icons

Friday, April 25, 2014

CONTOH KARYA AGUNG


Tahukah anda? sebenarnya karya-karya agung Melayu adalah sangat unik. Karya-karya ini kadang kala agak sukar untuk difahami namun mempunyai nilai estetika yang tinggi. Karya-karya seperti ini boleh menjadi bahan bacaan yang sangat menarik kerana kitab lama seperti ini sangat jarang dijumpai. 

Di sini saya lampirkan beberapa contoh Karya Agung Melayu beserta sedikit deskripsi ringkas tentang karya tersebut.















3 CONTOH KARYA AGUNG MELAYU YANG TERKENAL




HIKAYAT HANG TUAH




Hikayat Hang Tuah merupakan satu-satunya epik Melayu yang melakar cita-cita, kebolehan, dan sikap hidup orang-orang Melayu pada suatu zaman. Hang Tuah yang menerajui hikayat ini, mewakili keunggulan citra Melayu sebagai bangsa yang berbudaya dan bertamadun dengan menonjolkan sifat-sifat kesetiaan, keberanian, kepintaran dan budi bahasa yang halus. Hang Tuah merupakan seorang laksamana yang unggul serta pahlawan Melayu yang gagah semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah di Melaka pada abad ke-15.
Pada masa umurnya sepuluh tahun, Hang Tuah bersahabat karib dengan empat orang yang sebaya dengannya, iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Mereka bagaikan isi dengan kuku. Ketika belayar ke Pulau Tinggi, Hang Tuah dan sahabatnya telah membunuh segerombolan lanun lalu mereka diambil berkhidmat di bawah Sultan oleh Bendahara yang kagum akan kepahlawanan mereka pada usia yang begitu muda.
Ketika Hang Tuah mengiringi Sultan ke Majapahit, beliau menyahut cabaran seorang pahlawan Jawa yang termasyhur dikenali sebagai Taming Sari dan berjaya memperoleh sebilah keris yang dinamakan ‘Taming Sari’ sempena nama pemiliknya yang asal. Kemenangannya menyebabkan Hang Tuah dikurniai bukan sahaja keris ‘Taming Sari’ tetapi juga gelaran Laksamana dan sepersalinan pakaian oleh Seri Betara.
Laksamana Hang Tuah telah menjadi orang kesayangan sultan dan hal ini menimbulkan rasa iri hati dalam kalangan kerabat diraja termasuk Patih Karma Wijaya. Suatu tuduhan palsu telah dibuat terhadap Hang Tuah iaitu, beliau dituduh berzina dengan dayang sultan, dan Hang Tuah serta-merta dijatuhi hukuman mati oleh sultan yang murka tanpa sebarang usul periksa. Bagaimanapun, hukuman mati itu tidak dilaksanakan oleh bendahara, dan Hang Tuah disembunyikan di Inderapura.
Hang Jebat telah melancarkan pemberontakan balas dendam terhadap Sultan Mansur Shah demi membalas kematian Hang Tuah. Sultan telah mengisytiharkan Hang Jebat sebagai penderhaka dan berasa menyesal kerana menjatuhkan hukuman mati kepada Hang Tuah.
Akhirnya, bendahara membuka rahsianya dan memanggil Hang Tuah pulang daripada persembunyian. Hang Tuah telah diampuni oleh sultan. Suatu perlawanan yang amat menyedihkan telah berlaku antara Hang Tuah dengan Hang Jebat. Selepas berlawan selama tujuh hari, Hang Tuah telah berjaya membunuh Hang Jebat dan mendapat keris Taming Sarinya semula. Jebat mengamuk selama 3 hari sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Kemudian, orang-orang Feringgi (Portugis) berjaya menawan Melaka dengan membedil kota Melaka. Penggempuran ini telah dilakukan serentak dengan kedatangan dua angkatan laut dari Manila dan negara Feringgi. Para pahlawan Melaka telah berjaya ditewaskan dan seterusnya berundur ke selatan. Di sini, mereka mendirikan sebuah kerajaan baharu yang dikenali sebagai Kerajaan Johor Lama.
Maka, Hang Tuah terus menghilangkan diri dan beliau tidak pernah dilihat lagi. Berita tentang Laksamana Hang Tuah juga tidak kedengaran lagi tetapi beliau dipercayai masih hidup pada akhir hikayat ini. Hikayat ini diakhiri dengan semangat nasionalisme yang kekal sehingga hari ini, iaitu “Takkan Melayu Hilang di Dunia.” Hikayat Hang Tuah turut dikemukakan oleh Malaysia sebagai Warisan Dunia untuk dimasukkan ke dalam Daftar Ingatan Dunia -  Memory of the World Register pada 2001.

HIKAYAT SULALATUS SALATIN (SEJARAH MELAYU)











“Kemasyhuran kitab sejarah Melayu dikaitkan dengan perincian sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang pernah berdiri sebagai sebuah negara Melayu yang paling kuat, agung dan kaya pada abad ke-15. Lantaran itu, karya tersebut sering kali diselidiki sebagai sebuah dokumen sejarah yang menggambarkan antara lain, kelahiran kerajaan Melaka bersekali dengan tamadun Melayu Islam Berajanya, pengluasan kuasa pemerintahnya serta pelbagai aspek dan titik bengik kehidupan kesultanan tersebut yang berakhir dengan episod keruntuhannya akibat serangan Portugis pada tahun 1511 M. Bermakna, Kitab Sulalatus Salatin menjadi antara sumber rujukan utama yang bersifat primer tentang sejarah masyarakat dan kebudayaan Melayu awal.”




HIKAYAT ABDULLAH







Hikayat Abdullah memerikan akan betapa kasihnya Abdullah akan ibunya, Salamah. Peri Abdullah menerima pendidikan. Abdullah memerikan sebilangan guru yang mengajarnya. Abdullah memberikan pandangan peribadinya akan peri pentingnya ilmu dalam kehidupan kita. Abdullah mencatat pemandangan dan suasana Kota Melaka yang ramai penduduknya. Abdullah memerikan kerja-kerja merobohkan tembok-tembok kota Melaka dengan perintah Raja Farquhar. Kota itu diruntuhkan dengan menggunakan bom. Salah satu episod betapa bijaknya Encik Sulong menangkap gajah. Hanya seekor sahaja yang hidup daripada puluhan yang ditangkap. Abdullah memerikan ekspedisi penangkapan gajah itu dari mula hingga akhir.



Sebenarnya, banyak lagi karya-karya agung yang terdapat dalam dunia penulisan masyarakat Melayu. 

0 comments:

Post a Comment