Karya agung ini dibahagikan kepada empat bahagian,
iaitu Bingkis Pemula, Bingkis Bicara, Bingkis Kasih dan Bingkis
Penutup. Bingkis Pemula merupakan himpunan pantun dengan
maksud memulakan bicara, majlis atau warkah. Bingkis ini dimulai dengan “Awal
Bismillah” yang merupakan kata alu-aluan memulakan majlis; diikuti oleh
pantun-pantun ringan yang membawa maksud jenaka dan usik-mengusik. Bingkis
Bicara pula mengetengahkan tema-tema pantun yang agak berat, bermula
tentang ‘Adat dan Etika’, ‘Budi dan Adab’, ‘Agama dan Pengajaran’, ‘Peribahasa,
Kiasan dan Ibarat’ dan kemudian tentang ‘Perantauan dan Nasib’.
Pantun-pantun yang mengangkat tema percintaan pula
dihimpunkan dalam Bingkis Kasih. Misalnya dalam ‘Cinta Bersemi’ ialah
pantun yang membawa maksud usik-mengusik, berkenalan dan berjanji, diikuti
dengan ‘Hasrat Tercapai’ yang menggambarkan kegembiraan dalam hidup berkasih
dengan tercapainya cita-cita dan harapan para kekasih, misalnya untuk sehidup
semati dalam ikatan perkahwinan. Bab ini diakhiri dengan tema ‘Kasih Terhalang’
dengan maksud harapan yang tidak kesampaian, terhalang oleh peristiwa-peristiwa
tertentu. Karya ini diakhiri dengan Bingkis Penutup yang merupakan
himpunan pantun sebagai penutup pembicaraan .
Sebagai sebuah karya agung, Bingkisan
Permata menghimpunkan rakaman kebijaksanaan masyarakat Melayu lama
dalam membuat pengamatan yang tajam terhadap keadaan dan perkara yang berlaku
dalam kehidupan mereka. Pantun-pantun yang tercipta mengandungi pemikiran atau
falsafahnya yang tersendiri dalam menjalankan peranannya sebagai medium untuk
berkomunikasi dan berhibur dan pada masa yang sama mendidik khalayak pembaca
dengan nilai-nilai yang positif.
BINGKIS PEMULA
Bingkis Pemula merangkumi pantun-pantun pembuka bicara. Selain
itu, Bingkis Pemula juga turut mengetengahkan pantun-pantun yang
mengandungi tema yang bersahaja, iaitu seperti pantun jenaka, teka teki dan
sindiran serta pantun kanak-kanak.
Pembuka Bicara
Menurut Harun Mat Piah (2001: xxvi) pantun
pembuka bicara digunakan untuk memulakan sesuatu acara, majlis atau warkah. Kini,
pantun pembuka bicara seperti yang terdapat dalam karya agung ini telah
digunakan dalam majlis rasmi untuk mengucapkan selamat datang, kata sanjungan
dan pujian, ucapan terima kasih dan perpisahan (Mohd Rashid Md Idris,
2011:159). Contohnya:
Sirih lipat sirih pinang,
Sirih dari Pulau Mutiara,
Pemanis
kata selamat datang,
Awal Bismillah pembuka bicara.
[Bingkisan
Permata, 2001:13]
Merujuk kepada unsur bahasa pula, penulis juga turut menggunakan gaya
bahasa asonansi iaitu perulangan vokal [i].
Bukan lebah sebarang
lebah,
Lebah bersarang
di rumpun buluh;
Bukan sembah
sebarang sembah,
Sembah
menyusun sepuluh jari.
[Bingkisan Permata, 2001:13]
Pantun di atas ini digunakan oleh pembesar atau rakyat
ketika sistem pemerintahan beraja pada zaman dahulu. Lazimnya, sebelum
menyampaikan sesuatu berita atau perkhabaran pembesar atau rakyat jelata
akan menjadikan pantun ini sebagai pemula bicara sebelum mereka menyampaikan
tujuan mereka yang sebenarnya. Hal ini demikian kerana pada zaman dahulu raja
merupakan ketua pemerintah yang sangat disanjung dan dihormati oleh rakyat dan
pantun ini digunakan untuk memuliakan kedudukan sultan itu sendiri sebagai
pemerintah yang berkuasa. Petikan ini pula dapat dilihat bahawa penulis banyak
menggunakan perulangan konsonan [s] iaitu gaya bahasa aliterasi.
Jenaka
Memandangkan masyarakat Melayu lama tidak mempunyai
saluran atau media yang canggih untuk menghiburkan hati setelah penat bekerja,
maka pantun jenaka dijadikan sebagai medium untuk mereka mengubat lara di hati
dan juga melepaskan segala kelelahan sama ada dari segi fizikal dan mental. Hal
ini demikian kerana pantun tersebut mengandungi unsur humor yang dapat
menimbulkan keriangan dalam kehidupan seharian mereka. Contohnya:
Belimbing manis rebah di tebang,
Kemiri tanam berleret-leret;
Kambing berbaris tengah padang,
Biri-biri menghembus trompet
[Bingkisan Permata, 2001:56]
Jika lengang dalam negeri,
Marilah kita pergi ke kota;
Hairan tercengang kucing berdiri,
Melihat tikus naik kereta.
[Bingkisan Permata, 2001:61]
Teka-Teki
Pada zaman dahulu pantun teka-teki digunakan sebagai
medium untuk menguji minda atau kebijaksanaan mereka. Menurut Mohd
Rashid Md Idris (2011:127) sifat yang terkandung pada pantun teka teki yang
memerlukan jawapan merupakan jawapan adalah merupakan satu daripada alat
untuk menggerakkan cara berfikir secara spontan dan membina kemahiran berfikir
dengan tepat. Lazimnya, teka teki ini akan disampaikan kepada khalayak ramai
dan keadaan tersebut akan menimbulkan suasana riang dan seterusnya akan
mengeratkan hubungan silaturrahim sesama mereka. Contohnya:
Bawa kerakap dengan batangnya,
Buat bekal pergi ke bendang;
Cuba teka apa binatangnya,
Berbunyi seperti gong dan gendang.
[Bingkisan Permata, 2001:55]
[Bingkisan Permata, 2001:55]
Orang Sunda ke Pulau Barus,
Sarat perahunya bermuat kopi;
Apakah benda badannya kurus,
Digenyeh kepala terbitlah api.
[Bingkisan Permata,2001:70]
[Bingkisan Permata,2001:70]
Sindiran
Penggunaan pantun adalah untuk menghindarkan kata-kata
kasar dan tajam ketika menyindir perbuatan atau sifat seseorang yang kurang
baik atau salah. Hal ini demikian kerana masyarakat Melayu kaya dengan
kehalusan dan kesopanan ketika berbual dan sering menyampaikan sesuatu mesej
dengan cara terselindung. Menurut Nor Hashimah Jalaluddin dalam Mohd Rashid Md
Idris (2011:74) dalam masyarakat Melayu perkara yang hendak disampaikan perlu
dibicarakan dengan gaya yang sopan dan tertutup, iaitu secara terselindung
dengan menggunakan tutur kata yang manis. Jika sindiran-sindiran tersebut
disampaikan secara berterus terang akan mewujudkan perasaan yang tidak harmonis
seperti terkilan atau tersinggung dan juga akan mewujudkan perasaan sakit hati
yang akhirnya membawa perselisihan faham. Penggunaan pantun akan meninggalkan
kesan yang lebih tepat dan tajam kepada seseorang yang disindir.
Apa guna berkain batik,
Kalau tidak memakai capal;
Apalah guna beristeri cantik,
Kalau tak pandai menumbuk sambal.
[Bingkisan Permata, 2001:55]
Terdapat unsur ambiguiti iaitu unsur kekaburan iaitu
pada baris keempat iaitu kalau tak pandai
menumbuk sambal. Pembaca boleh mentafsir sendiri perkara yang cuba
diberitahu oleh penulis. Tambahan lagi, majas sindiran digunakan iaitu ironi
bagi menyindir isteri yang cantik tetapi tidak pandai memasak.
Hingguk-hingguk goyang-goyang,
Nasi lemak gulai lembu;
Taruh janggut tidak sembahyang,
Buat semak bawah dagu.
[Bingkisan Permata, 2001:61]
Solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh
Allah pada Hari Pembalasan kelak. Hal ini demikian kerana solat merupakan tiang
agama yang mampu mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran terhadap Allah
S.W.T. Pantun ini sebenarnya menyindir sikap orang lelaki yang
menunjukkan perwatakan yang alim tetapi sebenarnya tidak mengamalkan ajaran
Islam dalam hidupnya. Selain itu majas sindiran yang digunakan ialah
sinisme yang menyindir lelaki yang tidak sembahyang secara terang-terangan.
Pantun Kanak-Kanak
Menurut Sulaiman Masri, Abdullah Yusuf dan Mohd Ra’in
Shaari (2006: 313) pantun kanak-kanak digunakan memberi nasihat.
Contohnya:
Ayun anak ayun,
Ayun sampai hujung serambi;
Bangun anak bangun,
Jangan tidur meninggi hari.
[Bingkisan Permata, 2001:19]
[Bingkisan Permata, 2001:19]
Burung kenek-kenek,
Terbang dalam hutan;
Pesan datuk nenek,
Emak marah jangan lawan.
[Bingkisan Permata, 2001:25]
[Bingkisan Permata, 2001:25]
Berdasarkan pantun-pantun di atas jelaslah bahawa
pantun kanak-kanak digunakan untuk memberi nasihat dan juga
untuk mendidik kanak-kanak untuk menunjukkan sikap atau tingkah
laku yang baik untuk menjadikan mereka insan yang berakhlak mulia pada suatu
masa nanti.
BINGKIS BICARA
Bingkis Bicara merupakan sub topik kecil yang terdapat
dalam karya Bingkisan Permata. Bingkis Bicara mengandungi perbicaraan mengenai
tema-tema yang agak serius sesuai dengan falsafah Melayu. Antara tema yang
dibicarakan ialah tentang “ Adat dan Etika”, “Budi dan Adab”, “Agama dan
Pengajaran”, Peribahasa, Kiasan dan Ibarat” serta “Perantauan dan Nasib”.
Agama dan Pengajaran
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010)
agama bermaksud kepercayaan pada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan
dan penerimaan ajaran serta perintah-Nya. Konsep agama dalam pantun berdasarkan
konteks masyarakat Melayu mempunyai kaitan yang amat rapat dengan nilai dan
akhlak Melayu-Islam. Menurut Ibnu Manzur (1990:86) dalam Mohd Rashid Md Idris
(2011), akhlak merupakan gambaran dalaman manusia meliputi sifat diri mereka
sendiri yang memberi makna tersendiri sesuai dengan status mereka diciptakan
sebagai makhluk.
Akhlak memainkan peranan yang sangat penting dalam
proses pembentukan peribadi Muslim. Akhlak yang merupakan kelakuan bermoral
merangkumi nilai-nilai seperti merendah diri, benar, hormat-menghormati, adil
dan saksama dan sebagainya. Dalam masyarakat Melayu, mereka yang dianggap
beretika, bermoral dan berakhlak lazimnya akan dipandang tinggi oleh
masyarakat. Keseluruhan akhlak masyarakat Melayu yang terdidik dengan adat dan
agama itu akan membentuk konsep budi yang menjadi sanjungan masyarakat Melayu
sejak dahulu sehinggalah sekarang. Contoh pantun berkaitan dengan akhlak yang
terdapat dalam karya Bingkisan Permata ialah:
Bawa aksin terlalu indah,
Ombak bersusun berlari-lari;
Jika berkata yang tidak ber faedah,
Terlebih baik mendiamkan diri.
[Bingkisan Permata, 2001: 139]
[Bingkisan Permata, 2001: 139]
Selain itu, terdapat unsur
personifikasi dalam sajak di atas. Penulis menyatakan keadaan ombak yang bersusun berlari-lari.
Budi dan Adab
Budi bermaksud akal atau kebijaksanaan (Kamus Dewan
Edisi Keempat, 2010: 212). Menurut Mohd Rashid Md Idris (2011), budi dapat
ditakrifkan sebagai sikap pemurah dan berbuat baik kepada orang lain. Dalam
masyarakat Melayu, budi merupakan nilai yang terpuji. Amalan balas-membalas
budi amat penting kerana ia dapat mewujudkan semangat kerjasama,
tolong-menolong, dan bantu-membantu untuk kebaikan. Dalam masyarakat Melayu,
kebanyakan pantun budi merujuk kepada kepentingan berbudi dalam masyarakat.
Antara pantun yang diketengahkan dalam Bingkisan Permata ialah:
Limau manis
dimakan manis,
Manis
sekali rasa isinya;
Dilihat manis
dipandang manis,
Manis sekali
hati budinya.
[Bingkisan Permata, 2001: 91]
Pantun di atas jelas menunjukkan bahawa penulis
menggunakan majas perulangan iaitu repitits. Penulis menegaskan dengan
mengulang perkataan manis berulang
kali dalam pantun di atas.
Adat dan Etika
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010),
adat didefinisikan sebagai peraturan yang sudah diamalkan sejak dahulu kala
dalam suatu masyarakat sehingga menjadi hukuman atau peraturan yang harus
dipatuhi. Menurut Hashim Haji Musa (2002), etika ditakrifkan sebagai kod dan
peraturan yang mengatur cara hidup dan tindak tanduk sesebuah masyarakat atau
organisasi. Adat sangat sinonim dalam masyarakat Melayu kerana ia sering
diaplikasikan dalam aktiviti seharian. Dalam masyarakat Melayu, adat dihormati,
dijunjung, dan disanjung tinggi. Pelanggaran adat Melayu dianggap sebagai
perbuatan sumbang dan dicemuh oleh anggota masyarakat (Mohd Rashid Md Idris,
2011: 218). Dalam Bingkisan Permata jelas terakam nilai ini,
misalnya:
Menanam kelapa di Pulau Bukum,
Tinggi sedepa sudah berbuah;
Adat bermula dengan hukum,
Hukum bersandar di kitab Allah.
[Bingkisan Permata, 2001: 89]
Berbuah lebat pohon mempelam,
Rasanya manis dimakan sedap;
Bersebarlah adat seluruh alam,
Adat pusaka berpedoman kitab.
[Bingkisan Permata, 2001: 80]
Walaupun budaya menekankan kepentingan memelihara
adat, namun tidak semestinya masyarakat Melayu perlu bersikap menuruti tanpa
memikirkan baik buruknya. Malah, undang-undang adat yang lapuk dan tidak
relevan lagi wajar diperbaharui demi kepentingan masyarakat Melayu seluruhnya
(Mohd Rashid Md Idris, 2011: 218).
Perantauan dan Nasib
Masyarakat Melayu sering dikaitkan dengan kegiatan
merantau dan berdagang. Buktinya, pada hari ini kita dapat melihat masyarakat
Melayu bertebaran sehingga ke pelosok dunia. Kegiatan merantau dan berdagang
mempunyai pelbagai tujuan, antaranya ialah untuk mengembara, berdagang
(berniaga), membawa diri kerana kecewa, berkhidmat kepada raja, mencari rezeki,
perkahwinan, menyebarkan agama dan sebagainya (Mohd Rashid Md Idris, 2011:
219). Contoh pantun yang terdapat dalam karya Bingkisan Permata ialah:
Masak nasi dibuat bubur,
Bubur dicampur dengan gula;
Hati duka patut dihibur,
Supaya jangan menjadi gila.
[Bingkisan Permata, 2001: 259]
Bengis sungguh orang pangkalan,
Lalu-lalang perahu dilarang;
Menangis dagang sepanjang jalan,
Mengenang nasib di negeri orang.
[Bingkisan Permata, 2001: 244]
BINGKIS KASIH
Bingkis Kasih merupakan sub-topik ketiga yang terdapat dalam
karya Bingkisan Permatayang membicarakan mengenai percintaan dalam
tahap-tahap yang umum yang terjalin sesama manusia, iaitu antara golongan
muda-mudi ataupun pasangan suami isteri. Bahagian ini membicarakan mengenai
cinta dan kasih sayang yang dapat diklasifikasikan kepada berkenalan dan
usik-mengusik, berkasih, bersetia dan kepuasan berkasih, cemburu dan bercerai,
serta kegagalan dan penyesalan yang selari dengan Melayu. Terdapat tiga tema di
dalam bab ini, iaitu ‘Cinta yang Bersemi’, ‘Hasrat Tercapai’ dan ‘Kasih
Terhalang’. Pantun kasih sayang ini melibatkan percintaan dua orang
kekasih yang bermula daripada titik perkenalan sehinggalah membawa perpisahan
dan semua ini berkait rapat dengan soal hati dan perasaan serta fitrah seorang
manusia yang ingin disayangi dan menyayangi orang lain.
Cinta Bersemi
Cinta merupakan sifat baik yang mewarisi semua
kebaikan, perasaan belas kasih dan kasih sayang. Pantun ini berkisar mengenai
sikap masyarakat yang suka mengusik (bergurau), terutamanya golongan lelaki
yang suka mengusik wanita. Selain itu, bahagian ini turut menceritakan mengenai
saat awal perkenalan di antara pasangan kekasih dan juga janji-janji yang
dibina ketika sedang bercinta, termasuklah sanggup bersumpah setia. Pantun ini
juga berkisar mengenai hal-hal perasaan dan hati naluri manusia seperti rayuan,
kerinduan, kasih sayang dan sebagainya, contohnya seperti pantun di bawah:
Dipanah oleh Indera Sakti,
Burung Dewata di pohon keranji;
kerana sama menaruh hati,
di ekor mata kita berjanji.
[Bingkisan
Permata, 2001:310]
Pantun di atas membawa maksud pasangan kekasih yang
saling menyayangi, telah berjanji untuk setia, dan mungkin untuk sehidup
semati. Dalam percintaan juga, manusia sanggup bersumpah demi membuktikan cinta
mereka terhadap pasangan masing-masing, sehinggakan ada yang sanggup bersumpah
menggunakan kalam Allah S.W.T. Contohnya seperti pantun di bawah:
Pergi ke pasar membeli bawal,
beli mangga di Kampung Bali;
ibarat adinda barang dijual,
sebut harganya boleh kubeli.
[Bingkisan Permata, 2001:351]
Pantun
di atas menggambarkan apabila sedang bercinta, semuanya akan kelihatan indah,
manis dan menarik di mata masing-masing. Segala kekurangan yang ada pada setiap
pasangan seolah-olah terlindung oleh rasa sayang dan segala rintangan yang
datang dapat diatasi dengan sebaik-baiknya. Rangkap pantun ‘ibarat adinda
barang dijual, sebut harganya boleh kubeli’ menunjukkan sang arjuna sanggup
melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kekasih hatinya walaupun sukar. Penulis
juga menggunakan majas pertentangan iaitu antitesis yang menggunakan perkataan
yang berlawanan ertinya iaitu dijual
dan kubeli.
Hasrat Tercapai
Pantun hasrat tercapai menggambarkan riak kegembiraan
dalam hidup berkasih sayang dan tercapainya cita-cita dan harapan para kekasih,
misalnya untuk sehidup semati dalam ikatan perkahwinan yang diredhai Allah.
Semua orang berhasrat untuk sehidup semati dengan orang yang dicintainya dan
kegembiraan akan terukir di wajah apabila segala impian dan harapan menjadi
kenyataan.
Laksamana
berempat di atas pentas,
cukup
berlima dengan gurunya;
bagai
dakwat dengan kertas,
sudah
berjumpa dengan jodohnya.
[Bingkisan
Permata, 2001:415]
Pantun
di atas menggambarkan seseorang yang telah bertemu dengan jodohnya. Apabila
sudah bertemu dan yakin dengan perasaan masing-masing, pasangan tersebut pasti
akan menuju kepada ikatan yang diredhai, iaitu ikatan perkahwinan bagi mencapai
hasrat untuk hidup bersama dan bahagia. Sesungguhnya, setiap makhluk telah
diciptakan secara berpasang-pasangan, dan kita sebagai umat perlu yakin dengan
urusan Allah.
Kasih Terhalang
Sungguhpun pengalaman bercinta cukup manis dan indah, tetapi adakalanya
ianya berakhir juga dengan kegagalan. Kegagalan dalam percintaan amat pedih
dirasakan oleh mereka yang mengalaminya. Dalam sesebuah perhubungan, tidak semuanya akan
berakhir dengan kegembiraan. Hal ini (perpisahan) disebabkan oleh beberapa
halangan yang timbul seperti halangan daripada keluarga, perubahan hati,
terpaksa berpisah sementara ataupun berpisah buat selama-lamanya. Kisah
percintaan yang menceritakan mengenai harapan dan kasih yang diingini, tetapi
tidak tercapai (terputus di tengah jalan) akibat sikap tidak setia pasangan diungkapkan dalam pantun di bawah:
Ruak-ruak burung di kali,
papan dirapat sampaian kain;
awak juga membuang diri,
sebab mendapat muda yang lain.
[Bingkisan Permata, 2001:466]
Pantun
di atas berkisar mengenai kegagalan hubungan yang dikatakan berpunca daripada
perubahan hati salah seorang daripada pasangan itu. Perubahan hati itu diungkap
dengan begitu indah sekali melalui kiasan rangkai kata sudah mendapat muda yang
baru. Halangan sementara pula seperti terpaksa berpisah untuk satu tempoh waktu
tertentu, dan ini mungkin disebabkan oleh tuntutan kerja atau tugas yang
penting, contohnya seperti pantun di bawah:
Apa
khabar nasi di daun,
nasi di dalam bagai nak basi;
apa
khabar tinggal setahun,
tinggal
semalam bagai nak mati.
[Bingkisan
Permata, 2001:458]
Dalam pantun di atas, perpisahan yang terjadi walaupun
seketika semenangnya amat sukar bagi insan yang sedang bercinta. Hidup
berjauhan tanpa pasangan boleh menyebabkan rindu yang berpanjangan. Bagi gaya
bahasa pula penulis menggunakan majas perulangan iaitu repitisi dengan
mengulang-ulang penggunaan perkataan nasi.
BINGKIS PENUTUP
Bingkis Penutup merupakan sub-topik terakhir dalam karya
Pantun Melayu: Bingkisan Permata. Bingkis Penutup telah
dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu Tanggapan dan Renungan, Salam
Perpisahan dan Harapan.
Tanggapan dan Renungan
Bahagian ini mengetengahkan himpunan pantun berkaitan
pengalaman dan etika dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) menyatakan etika merujuk kepada prinsip
moral atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang individu atau
sesuatu kumpulan. Masyarakat merupakan istilah yang digunakan untuk menerangkan
komuniti manusia yang tinggal bersama-sama. Etika kehidupan bermasyarakat diketengahkan dalam
bahagian ini bagi memberikan panduan dan pengajaran kepada khalayak pembaca
agar mengamalkan nilai-nilai positif dan akhlak yang mulia dalam apa-apa jua
aspek kehidupan.
Pantun digunakan oleh masyarakat Melayu untuk
menggambarkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu dengan menggunakan bahasa
yang berselindung atau dengan kata lain secara tidak berterus terang. Melalui
pantun, masyarakat Melayu dapat menyembunyikan perasaan sebenar sama ada kesal,
kecewa dan dukacita terhadap sesuatu dengan penyusunan kata-kata yang indah.
Hal ini bertujuan mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan akhirnya
mencetuskan pergaduhan antara mereka.
Ambil
bertih dari hulu,
Isi
mari di dalam balang;
Bersihkan
halaman kita dahulu,
Baru
bersihkan halaman orang.
[Bingkisan
Permata, 2001: 541]
Pantun
di atas merupakan kritikan sosial terhadap orang yang suka mengkritik kesilapan
orang lain sedangkan diri sendiri melakukan kesilapan yang sama. Terdapat
beberapa peribahasa Melayu yang merujuk kepada sikap ini, misalnya ‘bagai ketam
mengajar anaknya berjalan betul’ - menyuruh orang lain membetulkan kesilapan
tetapi diri sendiri juga silap, ‘bicarakan rumput di halaman orang, di halaman
sendiri rumput sampai ke kaki tangga’ - cacat cela orang lain nampak,
cacat cela sendiri tidak kelihatan dan ‘bintang di langit boleh dibilang,
tetapi arang di mukanya tak sedar’. Falsafah yang tersirat di sebalik pantun
tersebut membawa amanat dan peringatan tentang peri pentingnya seseorang
melihat dan menilai kelemahan diri sendiri sebelum sibuk membetulkan kesilapan
orang lain.
Kecil-kecil
kacang pelisa,
Pandai
melilit di pagar orang;
Tengok
kecil mulutnya bisa,
Pandai
menyakit hati orang.
[Bingkisan Permata, 2001: 568]
[Bingkisan Permata, 2001: 568]
Pantun di atas mengkritik salah satu sikap buruk yang
ada pada manusia, iaitu tidak pandai menjaga tutur kata. Za’ba (1950, dalam
Mohd Rashid Md.Idris, 2011: 197) menyatakan bahawa masyarakat Melayu yang
dianggap beradat mestilah berbudi bahasa dan baik tutur katanya. Masyarakat
Melayu memandang tinggi terhadap budi pekerti yang mulia, sopan santun dan
sifat lemah-lembut terutamanya terhadap kaum wanita. Gadis atau wanita yang
bersikap kasar dan bermulut celopar dianggap kurang ajar dan sangat menyakitkan
hati. Bagi masyarakat Melayu, nilai budi bahasa lebih disanjung tinggi
berbanding kecantikan wajah. Seseorang yang memiliki paras yang cantik jelita
jika tidak berbudi bahasa tidaklah dipandang orang. Jelaslah budi bahasa itu
sendiri mampu menandingi kecantikan dalam erti kata memenangi hati seseorang
seperti dalam pantun di bawah:
Anak teruna menanam betik,
Buah cempedak dalam raga;
Apalah guna berwajah cantik,
Kalau kurang budi bahasa.
[Bingkisan
Permata, 2001: 100]
Nilai-nilai
kejiranan turut diketengahkan dalam bahagian ini. Pelbagai aspek kejiranan
telah ditonjolkan dalam pantun Melayu, antaranya ialah nilai tolong-menolong.
Ribut-ribut
bawa pukat,
Melihat
gelung di Selat Jawa;
Kita
hidup tanda muafakat,
Tolong-menolong
tanda sejiwa.
[Bingkisan
Permata, 2001: 578]
Pantun
di atas memberikan gambaran kehidupan masyarakat Melayu dahulu yang saling
tolong-menolong antara satu sama lain. Kegiatan ini dapat memupuk cara hidup
yang baik, bertimbang rasa dan sikap prihatin untuk melahirkan masyarakat yang
lebih makmur (Mohd Rashid Md.Idris, 2011: 215). Nilai tolong-menolong
sememangnya lazim diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisi, contohnya dalam
kenduri perkahwinan. Mereka bergotong-royong membuat persiapan dan tidak lokek
menyumbangkan wang, masa dan tenaga. Keadaan ini turut digambarkan dalam
peribahasa Melayu ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ dan ‘bagai aur
dengan tebing’.
Masyarakat Melayu juga mengutamakan nilai perpaduan.
Bagi masyarakat Melayu, ‘cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit juga’ – turut
bersama-sama merasakan kesusahan dan penderitaan yang dihadapi oleh anggota
keluarga atau masyarakat. Masyarakat Melayu pada zaman dahulu mempunyai
hubungan yang mesra dengan jiran tetangga dan menjauhi sikap ‘bagai enau dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Nilai perpaduan terungkap dalam
pantun berikut:
Kalau ke
bukit sama mendaki,
Kalau ke
laut sama berenang;
Kalau kita bersatu hati,
Kerja yang berat menjadi senang.
[Bingkisan
Permata, 2001: 543]
Selain
itu, pantun diatas jelas dilihat berlaku perulangan anafora iaitu perulangan
kata pada awal ayat seperti yang ditandakan. Keluarga adalah satu daripada
institusi penting dalam masyarakat selain daripada ekonomi, pendidikan, politik
dan agama. Usaha mewujudkan masyarakat yang harmoni perlulah bermula dari
rumah, iaitu melalui hubungan kekeluargaan. Masyarakat Melayu tradisi mempunyai
hubungan kekeluargaan yang baik dan erat. Pada masa dahulu, kebanyakan keluarga
tinggal berdekatan dengan sanak saudara. Oleh itu, jalinan hubungan
kekeluargaan sangat erat.
Dapat seekor ikan tenggalan,
Lalu ditaruh di atas peti;
Saudara-mara dapat berkenalan,
Bertambah mesra kasih di hati.
[Bingkisan Permata, 2001: 543]
Salam Perpisahan
Selain berfungsi untuk
mendidik dan memberikan pengajaran, pantun juga digunakan untuk menzahirkan dan
meluahkan perasaan suka, gembira dan sedih. Bahagian ini menghimpunkan pantun
perpisahan – pantun ucapan selamat tinggal, pantun memohon kemaafan dan harapan
bertemu lagi serta pantun akhir majlis.
Hari
ini merendang jagung,
Hari
esok merendang serai;
Hari
ini kita berkampung,
Hari
esok kita bercerai.
Hari
ini merendang serai,
Hari
esok merendang ringgi;
Hari
ini kita bercerai,
Ada
umur bertemu lagi.
[Bingkisan
Permata, 2001: 606]
Pantun
tersebut menggambarkan hakikat kehidupan yang sentiasa berputar dan akan
dilalui oleh manusia, iaitu perpisahan. Setiap sesuatu yang bermula akan ada
pengakhirannya. Begitu juga dengan pertemuan, pasti ada titik perpisahannya.
Hanya doa dan harapan diluahkan moga akan adanya pertemuan pada masa akan
datang.
Hinggap
mari di pohon remunia,
Jauh
dari pohon meranti;
Kami
mencabut sedak rebana,
Majlis
berpantun mohon berhenti.
[Bingkisan
Permata, 2001: 606]
Pantun ini menggambarkan kesopanan yang menjadi amalan
masyarakat Melayu. Pantun digunakan untuk mengakhiri majlis dengan ungkapan
meminta izin sebagai tanda menghormati tetamu yang menghadiri majlis
tersebut. Pada akhir atau penghujung sesuatu majlis,
pantun digunakan bagi melahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada
mereka yang terlibat. Permohonan maaf juga disampaikan sekiranya terdapat tutur
kata atau perbuatan yang menyinggung hati dan perasaan. Penggunaan kata-kata
yang indah dalam menyampaikan perasaan akan memberikan kesan yang mendalam
kepada orang yang menerimanya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat
Melayu amat mementingkan budi bahasa dalam apa jua keadaan.
Kalau
ada jarum yang patah,
Jangan
disimpan di dalam peti;
Kalau
ada silap dan salah,
Jangan
disimpan di dalam hati.
[Bingkisan Permata, 2001: 607]
Harapan
Bahagian ini menghimpunkan
pantun-pantun yang menggambarkan harapan seseorang agar hak miliknya
dikembalikan dalam keadaan yang baik dan sempurna. Dalam konteksBingkisan
Permata, pantun ini diletakkan pada bahagian pengakhiran berkemungkinan
bagi menyampaikan harapan pengkaji agar khazanah pantun Melayu dipelihara
dengan baik dan tidak dirosakkan nilai keindahannya.
Bunga
anggerik di atas pagar,
Pagar
bersasak dengan pintunya;
Jangan
tercabik jangan terbakar,
Jangan
rosak barang suatunya.
[Bingkisan
Permata, 2001: 609]
KESIMPULAN
Pantun adalah karya agung
Melayu yang mencerminkan nilai-nilai hidup dan sosial masyarakat Melayu.
Keagungan itu bukan sahaja dalam falsafah, pegangan, tema dan maksud yang
disampaikan, tetapi juga dalam rangkap kata-kata yang menjadi wadah nilai dan
tanggapan itu. Kata-kata yang terdapat dalam pantun adalah padat, bernas, tepat
dan berkesan. Pantun bersifat fungsional, iaitu bukan sahaja bertujuan untuk
mendidik dan membimbing tetapi juga untuk menghiburkan khalayak yang
mendengarnya.
Pantun
adalah alat komunikasi yang sangat istimewa kerana bahasanya yang tepat dan
mempunyai mesej untuk mendidik masyarakat. Setiap rangkap pantun sudah diukur
terlebih dahulu dan kemudian baru digunakan. Keistimewaan bahasa dalam pantun
menunjukkan kebijaksanaan orang Melayu dalam mendidik masyarakat supaya beradat
dan beradab (Mohd Rosli Saludin, 2005). Banyak nilai baik dalam pantun yang
boleh kita amalkan dalam kehidupan kerana boleh mewujudkan perpaduan orang
Melayu, Islam dan rakyat di negara kita.
bingkisan permata.. terima kasih atas maklumatnya.. alhamdulilah dapat membantu saya dalam menyelesaikan tugasan saya..
ReplyDeletesama-sama, moga ilmu ini dapat membantu kamu :)
ReplyDelete